UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Zahid sokong akta antilompat diwujudkan

Kerusi wakil rakyat yang lompat ke parti lain wajar ditanding semula- Zahid

Presiden UMNO berkata wajar diadakan akta menghindar tindakan lompat parti berikutan gejala itu menghakiskan keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi negara.

Tindakan melompat parti itu sebenarnya adalah penipuan terhadap pengundi, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu hantaran Facebook pagi ini.

Beliau berkata pada masa ini sukar bagi pihak berkuasa untuk mengaitkan perbuatan lompat parti dengan unsur jenayah.

Terutama dalam mengaitkan pihak yang lompat parti kemudian dapat jawatan, dengan unsur sogokan.

Justeru itu, Zahid menyokong agar mewujudkan Akta antilompat parti dan Pemecatan Ahli Parlimen.

Tindakan lompat parti umpama menipu pengundi – Zahid

“Setakat ini tiada sebarang akta atau undang-undang dalam negara berkaitan lompat parti. 

“Maka cadangan mewujudkan Akta Antilompat Parti dan Pemecataan Ahli Parlimen 2021 adalah wajar. 

“Kita pernah menyaksikan begitu ramai wakil rakyat sewenang-wenang lompat parti selepas PRU-14.

“Tanpa mempedulikan tentang rakyat mengundi mereka atas dasar parti politik yang mereka wakili. 

“Ini suatu lagi penipuan terhadap pengundi selain daripada penipuan manifesto. 

“Sewajaranya kerusi kawasan itu dipertandingkan semula bagi mengabsahkan pilihan pengundi,” katanya.

Pada 2 September lalu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, menghantar notis cadangan usul ‘Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021’ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun juga mengesahkan pihaknya telah menerima usul Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said yang mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

Bagaimanapun, katanya keputusan belum dibuat untuk menyenaraikan usul itu dalam aturan urusan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-14 pada 13 September hingga 12 Oktober depan.